baby first book

Search This Blog

Monday, July 23, 2012

Pemberian Imbuhan Aidilfitri Untuk Penjawat Awam Ikut Kemampuan Kerajaan -Najib


PEKAN, 21 Julai (Bernama) -- Pemberian imbuhan sempena Aidilfitri kepada penjawat awam adalah bergantung kepada kemampuan kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan wajah yang ceria, Najib berkata beliau akan melihat 'buku kira-kira' kerajaan terlebih dahulu berhubung perkara itu.


"Nantilah kita semak-semak dahulu, belek-belek dahulu, kena tengok-tengok buku kira-kira dahulu...kalau apa-apa pun kita semak dahulu, apa-apa keputusan mesti berdasarkan kepada kemampuan kerajaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai pemberian imbuhan itu baru-baru ini.


Pada 16 Julai, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan itu dan tidak menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan seperti menaikkan harga barangan.


Najib ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan cek Durian Runtuh Felda Fasa 2 dan pakaian kepada Pegawai-pegawai Masjid serta sumbangan Apron kepada peniaga dan bantuan cermin mata kepada penduduk Pekan di Dewan Umno Pekan, di sini.

Dalam ucapannya beliau menegaskan agar pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan tidak menghalang usaha kerajaan dalam memajukan negara.

Mengambil contoh penyenaraian saham Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, beliau berkata, pihak yang cuba menghalang disifatkan sebagai busuk hati kerana tidak suka melihat kerajaan membantu meningkatkan kehidupan rakyat.

"Jangan halang usaha kerajaan untuk majukan negara dan rakyat, tidak sokong tidak apa...dalam hal ini (penyenaraian FGVH) kita tak boleh halang sebab ini adalah hal yang baik dan untuk kebaikan rakyat," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian Najib berkata jika peneroka ingin membeli tambahan saham, mereka perlu membelinya di pasaran saham terbuka.

"Pihak Felda perlu membantu peneroka untuk membelinya di pasaran terbuka dengan harga semasa. Walaupun peneroka telah ditawarkan dengan 800 unit saham ketika saham tersebut dilancarkan mereka juga tetap dapat keuntungan kerana 20 peratus saham FGVH telah dimasukkan ke dalam tabung amanah yang akan membayar dividen setiap tahun kepada mereka," katanya.

Ditanya mengenai laporan akhbar berhubung senarai awal calon Barisan Nasional yang ditolak 50 peratus daripadanya, Najib berkata: "Kita belum memuktamadkan calon-calonnya dan kita akan memutuskannya apabila tiba masanya, jadi semuanya hanya spekulasi. Umno pun belum, kita tengah semak-semak dan belek-belek lagi," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, July 17, 2012

Hormati budaya di perpustakaan



Perpustakaan Raja Tun Uda dibina menghadap sebuah tasik di Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 13, Shah Alam dan menjadi mercu tanda Selangor, sebuah negeri maju seperti yang diilhamkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiap pengunjung yang datang pastinya akan merasai pengalaman baru yang tidak boleh dilupakan. Berkonsepkan perpustakaan dalam taman, ia bukan sahaja bertindak sebagai pusat ilmu, malah kemudahan yang disediakan juga membolehkan setiap pengunjung beriadah serta berhibur bersama seisi keluarga.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad berkata, pihaknya menekankan konsep pendidikan dan hiburan selari dengan temanya Perpustakaan Rumah Keduaku. Idea tersebut hadir setelah pihaknya mengadakan lawatan ke Singapura dan Hong Kong.

“Hasil lawatan kami ke Singapore Science Centre dan Singapore Discovery Centre membawa idea bagi mendapatkan bahan pendidikan interaktif,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya turut melihat pada kehendak trend masyarakat kini yang mana kebanyakannya suka belajar di restoran makanan segera seperti McD dan KFC.

“Kami juga pergi ke kedai buku ternama seperti MPH, Kinokuniya dan Borders. Apa yang kami fikiran ialah kami cuba gabungkan semua menjadi satu. Kami nampak akan suasana yang ceria itu lalu membawanya ke perpustakaan,” katanya.


Didik pengguna

Mastura berkata, terdapat lebih 200,000 buku dengan beberapa kemudahan lain seperti perkhidmatan multimedia dan Internet, gimnasium, dewan serba guna, auditorium, bilik seminar dan panggung enam dimensi (6D) dan tiga dimensi (3D) yang boleh dimanfaatkan oleh setiap pengunjung.

“Perpustakaan ini turut menyediakan kafeteria yang menyajikan pelbagai hidangan menarik dengan kadar harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, lagi menarik, pihaknya turut menyediakan bahagian khas untuk pengguna kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dengan sudut menarik seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Siber dan Zon Interaktif.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya merayu agar ibu bapa yang menghantar anak mereka ke perpustakaan supaya sentiasa berkelakuan baik dan sopan.

“Kami menciptanya dalam keadaan santai supaya mereka berasa relaks. Tetapi tolonglah mendidik anak kita supaya menjaga harta perpustakaan seperti harta sendiri,” katanya ketika menjawab aduan sebahagian ibu bapa mengenai tahap ‘kebisingan’ di perpustakaan.

Berdasarkan kepada perkara tersebut, pihaknya meminta agar ibu bapa tidak sensitif sekiranya pihaknya ada menegur anak mereka yang bertujuan untuk mendidik.

Oleh itu, katanya, jalan penyelesaian yang diambil adalah dengan membina satu tempat senyap bagi bahagian kanak-kanak supaya mereka fokus dalam pembacaan.

Selain itu, Mastura berkata, apabila pihaknya dapat mendidik pengguna supaya menjaga perpustakaan ini seperti rumah sendiri, maka pihaknya juga akan menambahkan lagi pelbagai kemudahan untuk mereka.

Dalam pada itu, katanya, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyumbang kira-kira 1,200 naskhah buku yang diimport dari Britain dengan judulnya dipilih sendiri oleh baginda.

“Baginda suka pada buku yang berbentuk biografi kepimpinan malah baginda juga berkenan membenarkan buku yang didermakan itu diberi pinjam kepada ahli perpustakaan tanpa mengira harganya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga telah dijemput untuk melawat perpustakaan baginda di Putrajaya.

“Baginda sangat menjiwai buku dan boleh digelar sebagai ulat buku. Koleksi baginda terlalu banyak dan bagus sehinggakan sejarah mengenai Selangor pada 1700 dan 1800 pun ada siap dengan gambarnya sekali,” katanya.

Bagi memelihara kesejahteraan pada buku sejarah tersebut, pihak perpustakaan akan mulakan aktiviti pendigitalan secara berperingkat.


Pendaftaran percuma

Sementara itu, Mastura berkata, baru-baru ini, Sultan Sharafuddin telah menitahkan kepada pihaknya supaya perpustakaan ini dibuka waktu malam terutamanya pada hari minggu.

“Kini, ia dibuka kepada orang awam bermula jam 9.30 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala pada Sabtu dan Ahad pada jam 9.30 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada hari cuti umum,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mulai 1 September ini pihaknya akan melanjutkan masa sehingga 7 malam untuk hari bekerja manakala hingga jam 9 malam untuk hari minggu. Selain itu, keahlian Perpustakaan Raja Tun Uda terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan pendaftarannya adalah percuma.

“Buat masa ini, perpustakaan ini mempunyai seramai 994,000 ahli dan berita baik bagi ahli yang ke-1,000,000 kerana kami berhasrat untuk menghadiahkan sebuah iPad kepada mereka yang bertuah,” katanya.

Beliau juga berharap agar setiap pemimpin melihat perpustakaan sebagai satu tempat pencegahan gejala sosial dan bukanlah sebagai satu agensi yang membebankan.

“Tetapi, alangkah bagusnya, sekiranya, pembentukan masyarakat berilmu dan penuh berkemahiran dimulakan seawal mungkin. Jadi, perpustakaan perlu ‘bangun’ dan transformasi perlu dilakukan kerana itu adalah satu tanggungjawab,” katanya.